PTP catat kapasiti kendalian kontena tertinggi bulan lalu
Kosmo

JOHOR BAHRU – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia apabila mencatatkan rekod tertinggi bagi pengendalian kontena sebanyak 800,000 bersamaan kontena 20 kaki (TEU) pada bulan lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn.Bhd., Glen Hilton (gambar kecil), rekod tersebut meletakkan pelabuhan itu di landasan yang baik untuk mencapai sasaran jumlah kendalian kontena sebanyak 9.2 juta TEU bagi tahun ini.
“Selain itu, jumlah kontena bagi tempoh lapan bulan pertama 2015 telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Ini sekali gus penambahbaikan positif ke atas produktiviti operasi kontena dan pengoptimum sumber yang lebih baik di sebalik kejayaan tersebut,” katanya di sini semalam.
Hilton berkata, melalui sokongan kukuh daripada pelanggan sedia ada dan volum bagi pelanggan baharu, pihaknya yakin bahawa PTP mampu meneruskan pertumbuhan ketara.
Jelasnya, untuk tahun lalu PTP mengendalikan 8.5 juta TEU dan pada masa sama, menjadi pelabuhan pertama di Malaysia untuk mencapai kejayaan tersebut.
“PTP juga salah satu daripada hanya tiga pelabuhan di dunia yang mencatatkan pertumbuhan dua angka dan ke-18 antara pelabuhan terbaik dunia pada tahun 2014,” ujarnya.