03 Aug 2021

PTP catat peningkatan dalam senarai 20 pelabuhan terbaik dunia


SITI-SUKMA-02-1.jpg
WEE Ka Siong (tengah) ketika melawat PPVIN di Pelabuhan Tanjung Lepas di Iskandar Puteri di Johor.

ISKANDAR PUTERI: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) merupakan satu-satunya pelabuhan yang tersenarai dalam 20 Pelabuhan Terbaik Dunia yang mencatat peningkatan dalam kedudukan ranking mereka bagi tahun lalu. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, prestasi memberangsangkan itu ekoran kejayaan PTP merekodkan kadar pertumbuhan sebanyak 8.5 peratus bagi tahun lalu dan yakin mampu mencatat kadar pertumbuhan dua digit pula tahun ini berdasarkan prestasi cemerlang direkodkan.

“Saya yakin tahun 2021 kadar pertumbuhan PTP dijangka lebih baik. Kalau tahun lalu kita (PTP) mengendalikan 9.8 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), tahun ini kita mampu mengendalikan hampir 11 juta TEU. “Berdasarkan prestasi ditunjukkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, peningkatan dua digit bakal disaksikan menjelang hujung tahun,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melawat Pusat Vaksinasi Industri (PPVIN) di PTP, di sini hari ini.

Ka Siong berkata, kejayaan itu direkodkan walaupun dalam tempoh seluruh dunia sedang mengalami masalah akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. “Ini akan membantu kita bersaing bukan sahaja dengan pelabuhan serantau, tetapi juga melakar sejarah memandangkan tahun lalu kita duduki tempat ke-15 dan Port Klang ranking ke-12,” ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia juga merupakan negara Asia yang mempunyai dua pelabuhan yang disenaraikan dalam ranking berkenaan selain China. Katanya lagi, pelabuhan merupakan antara sektor industri yang tidak dihentikan operasinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu bagi memastikan tiada masalah bekalan berlaku di negara ini Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan bakal membuka beberapa lagi PPVIN khusus bagi sektor pengangkutan di seluruh negara dalam usaha mempercepat pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan sektor berkenaan di Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor.

“Pada 25 Jun lalu, enam PPVIN bagi sektor pengangkutan telah mula beroperasi bagi tujuan memberi suntikan vaksinasi Covid-19 kepada petugas barisan hadapan dalam sektor pengangkutan.

“Dalam fasa pertama ini, seramai 55,000 petugas barisan hadapan melibatkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim khususnya di kawasan Lembah Klang akan diberikan suntikan vaksinasi mereka,” katanya. Kata beliau, penambahan lokasi PPVIN baharu itu akan memberi manfaat kepada seramai 54,000 pekerja dalam sektor pengangkutan.

Sementara itu, pembukaan PPVIN di PTP yang bermula hari ini hingga 11 Oktober akan menyaksikan seramai 27,165 petugas sektor pengangkutan maritim dan logistik di PTP, Pelabuhan Tanjung Langsat dan Pelabuhan Johor akan menerima suntikan vaksin mereka.- UTUSAN