PTP catat rekod kendalian tertinggi
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mencatatkan rekod kendalian tertinggi bagi separuh tahun pertama dengan mengendalikan lebih 2.01 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) untuk tempoh separuh tahun pertama tahun ini.
Ini merupakan peningkatan 25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas apabila ia mengendalikan 1.60 juta TEU.
Jumlah muatan pindah kapal untuk tempoh separtuh pertama tahun 2004 berjumlah 1.83 juta TEU, naik 24.6 peratus berbanding 1.47 juta TEU yang dikendalikan dalam tempoh yang sama tahun 2003, kata PTP dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah kargo tempatan mencatatkan pertumbuhan kukuh 22 peratus, naik daripada 63,526 TEU yang dikendalikan dalam separuh pertama tahun lepas untuk mencecah 77,576 TEU dalan enam bulan pertama tahun ini.
“Fenomena pertumbuhan di PTP itu adalah hasil perubahan berterusan ekonomi global yang kukuh serta tambahan beberapa perkhidmatan baru persinggahan di pelabuhan itu,”kata PTP.
Kenyataan itu menambah bahawa dalam separuh pertama tahun 2004, kapal-kapal yang singgah di PTP meningkat 5.3 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, yang berjumlah 1,584 berbanding 1,504 dalan tahun 2003.
“Peningkatan itu bersamaan tambahan persinggahan tiga buah kapal seminggu,”katanya.
Dengan jumlah itu kargo yang meningkat di laluan perdagangan utama, khususnya, Asia Eropah, PTP telah mencatatkan pertumbuhan kukuh di segi jumlah bagi mengekalkan kedudukan utamanya sebagai pelabuhan muatan pindah kapal.
Dengan siapnya dua jeti tambahan dalam pertengahan bulan Julai ini, ia juga menyatakan akan juga meningkatkan kapasiti pelabuhan itu dari 4.5 juta kepada 6.0 juta TEU setahun.