PTP dapat pinjaman BPIMB RM741 juta
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) memperoleh pinjaman 15 tahun berjumlah RM741 juta daripada Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Bhd. (BPIMB) untuk membiayai sebahagian fasa kedua pembangunannya.
Baki pembiayaan RM1.3 bilion akan diperolehi dari dana dalaman dan pinjaman bank, kata Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman.
``Kami kini sedang berunding dengan pihak bank,'' katanya di sidang akhbar selepas majlis memeterai pinjaman itu hari ini.
Fasa kedua pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas berjumlah RM1.3 bilion itu termasuk Kemudahan `Merapat 7 hingga 10'.
Ia turut meliputi reka bentuk dan pembinaan fasa B ``distripark'' dan semua yuran perundingan berkaitan, katanya.
Beliau berkata, pembangunan bermula dalam bulan November 2002 itu lebih awal daripada jadual asal permulaan dalam tahun 2005 kerana pertumbuhan pesat operasi pelabuhan itu dan sehingga ini Kemudahan `Merapat 7 dan 8' serta beberapa barisan lapangan kontena telah disiapkan.
Katanya pembinaan Kemudahan `Merapat 9 dan 10' struktur dermaga dan infrastruktur Fasa B ``distripark'' baru sahaja bermula dan dijangka disiapkan menjelang pertengahan tahun depan.
Menurutnya PTP dijangka menyaksikan pertumbuhan kira-kira lima peratus di segi jumlah pengendalian tetapi pada tahun depan, ia menjangka pertumbuhan dua angka, dengan adanya tambahan lebih banyak kren dan kemudahan merapat yang baru. - Bernama