01 Mar 2003

PTP di tempat ke-21 senarai Lloyd’s

Berita Harian

PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP), yang mengendalikan 2.66 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kontena tahun lalu disenaraikan di kedudukan ke-21 oleh Lloyd’s List dalam Laporan Khas bagi Pelabuhan Kontena Utama Dunia.

PTP yang dianggap sebagai pelabuhan paling pesat berkembang, mencatat jumlah kendalian kontena yang meningkat daripada 418,218 TEU pada 2000 kepada 2.05 juta TEU pada 2001.
 
PTP disenaraikan di tempat ke-26 pada 2001, kata PTP dalam kenyataan yang dikeluarkan di Tanjung Pelepas, Johor, semalam.
 
PTP disifatkan “satu daripada antara sebilangan kecil pelabuhan yang meningkat secara mendadak dalam tempoh yang pendek”.
 
“Dalam tempoh hanya tiga tahun sejak dibuka, PTP berkembang dengan begitu pantas dan kini berada hanya di luar sedikit saja daripada senarai 20 pelabuhan terbaik dunia,” katanya.
 
Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman, berkata: “kedudukan kami sebagai pelabuhan ke-21 itu ialah bukti jelas keyakinan daripada pelanggan kami”.
 
Beliau berkata tahun ini, rancangan pengembangan Fasa Dua yang membabitkan tambahan dua dermaga pada akhir 2003 akan memastikan keupayaan berterusan PTP menarik lebih banyak syarikat perkapalan besar.
 
“Simpanan tanah kami yang banyak juga menarik pengguna baru hasil kekerapan dan kesinambungan yang baik di terminal. Ini akan membawa kesan sampingan positif,” katanya.
 
Sejak dilancarkan secara rasmi, PTP berkembang pesat peringkat demi peringkat dari segi kuantiti dan produktiviti.
 
Pelabuhan itu berada di lokasi strategik di barat daya Johor dengan masa lencongan minimum daripada pertemuan laluan perkapalan antarabangsa utama.
 
Lokasi strategik PTP itu memberikan kelebihan geografi utama kepada pelabuhan berkenaan menerusi perairannya yang dalam, teluk yang terlindung dan laluan masuk yang besar.
 
Dengan ciri-ciri ini, PTP mampu memastikan tambatan kapal yang pantas dan mengurangkan masa menunggu.