13 Nov 1991

PTP dijangka atasi Pelabuhan Klang

Utusan Malaysia Online

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor dijangka mengatasi Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan pengendalian kargo utama di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, PTP berpotensi untuk mencapai status itu kerana ia mempunyai kadar pertumbuhan pengendalian kargo yang terpantas di negara ini.
 
“PTP dijangka mengendalikan sebanyak dua juta TEU (unit-unit bersamaan 20 kaki) pada tahun ini berbanding Pelabuhan Klang sebanyak 3.8 juta TEU.
 
“Ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana PTP baru sahaja beroperasi kira-kira dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengurusan Rangkaian Pembekalan dan Logistik 2001 di sini hari ini.
 
Dr. Ling menambah, kerajaan tidak menetapkan tarikh tertentu bila PTP akan menjadi pelabuhan kargo utama di negara ini.
 
PTP yang mempunyai kemudahan enam dermaga bernilai lebih RM2.4 billion telah dibuka dengan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2000.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, serangan pengganas terhadap New York dan Washington, Amerika Syarikat pada 11 September lalu tidak menjejaskan Pelabuhan Klang.
 
“Ini terbukti apabila pengendalian kargo di Pelabuhan Klang meningkat daripada 324,000 TEU pada September lalu kepada 343,000 TEU pada Oktober iaitu peningkatan sebanyak 19,000 TEU,” jelasnya.
 
Sekiranya trend tersebut berterusan pada November dan Disember, katanya, Pelabuhan Klang dijangka akan termasuk dalam senarai 10 pelabuhan kargo utama di dunia.
 
“Pelabuhan Klang kini terletak di tempat ke-12 dan ia tidak mustahil boleh mencapai kedudukan lebih baik sekiranya tiada persaingan daripada pelabuhan-pelabuhan di China,” ujarnya.