22 Sep 2001

PTP giat adakan promosi tarik pelanggan

Utusan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) sedang giat mejalankan promosi bagi menarik lebih ramai pelanggan menggunakan pelabuhan itu.

 
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman dalam satu kenyataannya di sini berkata, sasaran terbaru ialah di Seremban, Negeri Sembilan.
 
Beliau berkata, syarikat itu telah menganjurkan beberapa siri seminar di Johor Bahru, Batu Pahat dan Melaka bagi menyampaikan maklumat yang jelas kepada pelanggan masa hadapan mereka.
 
Katanya, seminar di Seremban dihadiri oleh 90 peserta yang terdiri daripada pengilang dan pemilik kapal dan merupakan pertama seumpamanya bagi pengusaha kapal di bahagian tengah.
 
“PTP menawarkan perkhidmatan dengan pengangkutan perantara yang kompetitif iaitu keretapi di samping perhubungan lain seperti jalan raya.”
 
Mohd Sidik berkata, keupayaan PTP juga semakin meningkat dengan memiliki kapal berkeupayaan 6,000 TEU (bersamaan dua puluh kaki) untuk laluan Asia ke Eropah dan Asia ke Amerika Utara sekaligus menjadikan PTP sebagai pelabuhan yang strategik.
 
Katanya, pengusaha di Nilai dan Seremban beruntung kerana mereka di lengkapi dengan kemudahan pengangkutan dan jalinan jalan raya yang baik.
 
Mohd Sidik menambah, lebuh raya yang menghubungkan Negeri Sembilan dengan Johor boleh membantu mereka mengangkut barang dengan lebih cepat ke PTP.
 
Selain itu, katanya, PTP juga memperkenalkan perhidmatan baru dengan kerjasama Nilai Inland Port dan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) bagi meningkatkan keupayaan membawa barangan ke PTP.