01 May 2013

PTP Hulur Bantuan Kepada Calon UPSR Di Gelang Patah

Bernama

Gelang patah, 30 April – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), terminal kontena terbesar di Malaysia, telah menganjurkan majlis ceramah motivasi UPSR untuk beberapa sekolah terpilih di kawasan Gelang Patah dengan usahasama Pejabat Daerah Johor Bahru (PPD), baru-baru ini.

Majlis itu juga merupakan usaha berterusan PTP sebagai agensi korporat yang bertanggungjawab dalam menyumbang dan memberi sokongan kepada masyarakat setempat. Tiga belas sekolah disekitar kawasan Gelang Patah menyertai inisiatif ini, melibatkan 150 murid dan 30 guru.

Program itu diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1 dengan matlamat memupuk sikap positif dan yakin diri dalam diri murid sebelum menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dr. Mohd Shukri Abdullah, pakar motivasi yang berpengalaman diundang untuk mengendalikan ceramah itu.

Ketua Pegawai Komersil PTP, Steven Yoogalingam berkata PTP komited dalam membantu program pendidikan yang akan menyumbang kepada masyarakat setempat.

"Sejak 2007 lagi PTP telah menganjurkan program motivasi secara tahunan untuk calon-calon UPSR. Kami berharap agar program ini bukan sahaja membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal mereka duduki September ini, malahan membolehkan pelajar memperbaiki teknik pembelajaran agar dapat dipraktikkan pada masa akan datang,"katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu,Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Tn Hj Fawzi Mohamad Noh sangat berbesar hati dan bersyukur dengan usaha baik PTP dalam menyokong serta menyediakan pendidikan berkualiti untuk murid di sekitar Gelang Patah.