09 Aug 2022

PTP jadi terminal kontena pertama melangkaui satu juta TEUS dalam sebulan

Bernama View Source

18TR003A3-2.jpg

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara Kumpulan MMC Malaysia dan APM Terminals dari Belanda, mencapai kejayaan bersejarah dengan menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang melepasi satu juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam sebulan.

"Pencapaian itu dicatatkan pada 31 Julai 2022 kira-kira 11.45 malam semasa proses pemunggahan kapal MTT Cebu, dengan jumlah kendalian bulanan terakhir didaftarkan pada 1.00 juta TEU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika mengulas mengenai pencapaian itu memuji PTP berikutan prestasi cemerlangnya dalam meraih rekod tersebut walaupun semasa persekitaran perniagaan yang agak mencabar sekarang, khususnya oleh kenaikan kos pengangkutan, kesesakan pelabuhan, impak perang Ukraine terhadap perkapalan global, peralatan dan kekurangan tenaga kerja.

"Pencapaian terbaharu yang memecahkan rekod ini termasuk pelbagai pencapaian lain yang diraih oleh PTP selama ini mencerminkan nilai sektor maritim kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia dan kepentingan perdagangan kepada negara," katanya.

Pendekatan strategik PTP untuk terus meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan jejaknya telah memberi kesan yang besar bagi mengekalkan kelebihan daya saing negara dalam pasaran global yang semakin kompetitif.

Awal tahun ini, PTP yang merupakan terminal kontena terbesar di Malaysia telah menjadi terminal kontena pertama di negara ini yang melepasi 11 juta jumlah kendalian TEU dalam setahun, mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai salah satu daripada 15 pelabuhan global teratas.