PTP Kekal status terminal kontena terbesar Negara
Berita Harian
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) milik MMC Corp Bhd, mengekalkan kedudukan sebagai terminal kontena terbesar di Malaysia apabila mencatatkan pengendalian kontena mencecah lapan juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) setakat awal bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Glen Hilton, berkata bersandarkan pencapaian berkenaan, pihaknya yakin pelabuhan itu mampu menutup tirai tahun 2014 dengan mencatatkan 8.6 Juta TEU menjelang akhir tahun ini.
Meletakkan sasaran pengendalian Sembilan juta TEU tahun depan, beliau yakin kejayaan itu memberikan masa depan cerah kepada PTP, walaupun dalam persekitaran mencabar.
"PTP mencatatkan pertumbuhan kukuh sejak mula beroperasi 15 tahun lalu. Ia berkembang daripada hanya mengendalikan 400,000 TEU pada tahun 2000 dan kami yakin ia akan terus mencatat pertumbuhanketara pada tahun akan datang", katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, semalam.
Beliau berkata, PTP akan mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 12.5 juta TEU setahun apabila siapnya dua dermaga terbaharunya, menjadikan keseluruhan 14 dermaga pada suku kedua tahun ini.
Kami menjangkakan pasaran kontena akan terus berkembang, didorong oleh akses perkapalan global lebih besar yang menggunakan kapasiti PTP, katanya.
Dalam pada itu, Hilton berkata, PTP yakin pertumbuhan organik kukuh daripada pelanggan baharu dan sedia ada bakal meningkatkan lagi pengendalian kontenanya bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Katanya, usaha itu bagi membolehkan PTP terus menjadi pemangkin kepada manfaat ekonomi dan sosial Johor serta wilayah pembangunan Iskandar Malaysia yang kini rancak membangun.
"Matlamat ini hanya boleh dicapai dengan komitmen dan dedikasi kakitangan PTP dalam menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan pantas serta cekap, selain sokongan berterusan kerajaan, pemegang saham dan pihak berkuasa tempatan," katanya.