PTP kendali 1.005 juta TEU
Berita Harian
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatat jumlah pengedalian suku pertama yang tertinggi dalam sejarahnya, dengan melepasi tahap sejuta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) buat kali pertama sejak mula beroperasi pada 1999.
Jumlah pengendalian sebanyak 1.005 juta TEU yang dicatatkan dalam suku pertama tahun ini adalah peningkatan besar sebanyak lima peratus berbanding jumlah bagi tempoh yang sama tahun lalu apabila ia mengendalikan 957,495 TEU, kata pengusaha pelabuhan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, akhir minggu lalu.
Daripada jumlah itu, pengendalian kargo tempatan melonjak 23 peratus kepada 44,927 TEU daripada 36,399 TEU yang dikendalikan dalam tempoh yang sama pada 2004, katanya.
Peningkatan terbesar dicatatkan bagi kargo eksport yang menyaksikan pertambahan mengagumkan sebanyak 36.75 peratus kepada 34,709 TEU daripada 25,381 TEU dalam suku pertama 2004 manakala jumlah pindah kapal juga meningkat daripada 912,096 TEU dalam suku pertama tahun lalu kepada 960,117 TEU.
PTP berkata, pertambahan jumlah kargo tempatan sebahagiannya disebabkan peningkatan kegiatan dalam zon bebas yang menyaksikan hub pengedaran makanan halal sedang dimajukan.
Hub itu menjadi zon khusus dalam kawasan Tanah Perindustrian Prima, seluas 16 hektar yang memberi tumpuan kepada kegiatan yang membabitkan pengedaran produk halal pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Bagi suku tahun dalam kajian, PTP juga mula menerima kumpulan pertama 15 kren ganteri bertayar getah (RTG) daripada IMPSA Port Systems, yang akan digunakan dalam fasa II projek pembangunan pelabuhan itu.
PTP di barat daya Johor yang juga pelabuhan dengan perkembangan terpantas di Asia Tenggara, menawarkan lapan tambatan dengan disokong satu daripada halaman kontena terbesar di rantau ini dengan kemampuan menyimpang 110,000 TEU.