PTP kendali 386,394 TEU hingga Mac
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn. Bhd. terus menunjukkan peningkatan perkhidmatan yang memberangsangkan apabila berjaya mengendalikan sebanyak 386,394 TEU (kontena bersamaan 20 kaki panjang) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 46 peratus berbanding suku tahun sebelum ini dimana pengendalian kontena dalam bulan Mac lalu adalah yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 148,000 TEU.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mohd. Sidik Shaik Osman berkata, dalam tiga bulan pertama tahun ini, pelabuhan itu juga telah melihat peningkatan kargo tempatan (import dan eksport) sebanyak 16,307 TEU, iaitu empat peratus daripada jumlah pengendalian kargo keseluruhan dengan 96 peratus lagi adalah kargo persinggahan.
Menurut beliau, peningkatan sebanyak 46 peratus TEU adalah berpunca daripada peningkatan kualiti perkhidmatan sedia ada serta pertambahan perkhidmatan-perkhidmatan baru di PTP.
“Kenaikan yang amat memberangsangkan dari segi pengendalian kontena dan produktiviti ini berjaya dicapai melalui kerjasama yang rapat serta proses komunikasi yang berterusan dengan para pelanggan pelabuhan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Ekoran peningkatan tersebut, beliau memberitahu, PTP sekarang bersiap sedia untuk mengendalikan pertambahan sebanyak 20 peratus pada suku tahun kedua.
‘Permulaan suku tahun kedua memberikan PTP peluang untuk mengorak langkah seterusnya. Tumpuan sekarang adalah untuk terus meningkatkan taraf perkhidmatan mengatasi kemahuan serta jangkaan para pengguna pelabuhan,” ujar Mohd Sidik.
Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, pelabuhan persinggahan kargo utama di Asia Tenggara itu telah menerima panggilan dari 534 kapal kontena dan 251 kapal bukan kontena di mana kebanyakan panggilan dari kapal Star Cruise.
Selain dari Maersk Sealand, syarikat perkapalan lain yang mempunyai panggilan tetap ke PTP ialah APL-NOL, MCC Transport, Kimtrans, Baywater (Kaz Industries), QC Line, Orient Express Line (OEL), Bengal Tiger Line (BTL) dan Bangladeshi Shipping Line (BSC).
“PTP juga telah meningkatkan keupayaan operasinya dengan pembelian beberapa peralatan tambahan kepada peralatan sedia ada di pelabuhan ini,” jelasnya.
Pada masa sekarang, katanya, PTP mempunyai 14 kren dermaga Super Post Panamax, dua kren dermaga mudah alih, 36 unit kren tayar getah untuk lapangan kontena, sejumlah besar lori-lori kontena dan peralatan lain.
Kata Mohd Sidik, menjelang akhir tahun ini sebanyak 10 unit lagi kren dermaga dan 36 unit kren tayar getah akan dihantar ke PTP untuk membolehkan Pelabuhan meningkatkan keupayaan pengendalian kontena kepada 4.5 juta TEU setahun dalam tahun 2002.