PTP kendali 541,329 TEU suku kedua
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengendalikan 541,329 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) dari April hingga Jun 2001, satu peningkatan rekod sebanyak 40 peratus daripada 386,394 TEU dalam suku pertama tahun ini.
Satu kenyataan di sini hari ini berkata, angka itu meletakkan prestasi tahunan PTP kepada sejumlah 927,723 TEU.
Bahagian pindahan kapal di dalam kedua-dua suku kekal pada sekitar 95 peratus dengan import dan eksport kargo tempatan meningkat dari bulan ke bulan dengan menambah kepada daya tarikan PTP kepada pekapal-pekapal tempatan yang mengeksport ke destinasi global.
Kenyataan itu berkata terdapat 885 persinggahan kapal dalam suku kedua, yang mana 595 daripadanya adalah persinggahan kapal kontena, berbanding dengan 791 persinggahan kapal dalam suku pertama yang mana 531 adalah persinggahan kapal kontena.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mohd. Sidik Shaik Osman berkata: ``Peningkatan 40 peratus (dalam pengeluaran TEU) melebihi jangkaan kami dan oleh itu kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami, syarikat perkapalan dan pekapal kerana sokongan mereka.''
Beliau berkata peningkatan pengeluaran adalah lebih-lebih lagi memuaskan memandangkan produktiviti pelabuhan adalah juga setanding dan juga telah meningkat tinggi secara perbandingan dan juga meningkat secara beransur-ansur di sepanjang tempoh itu.
``Pengurusan dan juga kakitangan kini melihat sasaran-sasaran dan cabaran-cabaran selanjutnya.''
Suku kedua menyaksikan kemasukan perkhidmatan Maersk Sealand, New Zealand yang disokong oleh rangkaian kapal angkut yang bertambah.
Perkembangan-perkembangan penting lain termasuk Taman Pengedaran dengan bilangan penyewa yang meningkat termasuk dua gudang Pelepas Logistics, dan gudang Kenwood Logistics seluas 15,000 meter persegi.
Gudang-gudang sedang dibina termasuk gudang Tiong Nam seluas 10,000 meter persegi, kemudahan-kemudahan Malaysian Industrial Estate (MIEL), dan gudang tambahan pengguna bersama.