PTP kini kendali 185 kontena sejam
Utusan Malaysia
JOHOR BAHRU 13 Jun - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, dekat sini, yang mula beroperasi pada Oktober 1999, kini berupaya mengendalikan 185 buah kontena dalam tempoh sejam.
Ketua pegawai eksekutifnya, Mohamad Sidik Shaik Osman berkata, rekod itu dicipta oleh PTP semalam ketika mengendalikan kontena dari kapal Carsten Maersk milik Maersk Sealand.
``Pelabuhan ini mengendalikan 185 buah kontena sejam dengan menggunakan lima buah kren Super Post Panamax, dan mencatat satu lagi rekod produktiviti lebih 39 pergerakan kasar sejam bagi satu kren,'' katanya di sini hari ini.
Hampir 4,000 pergerakan dibuat atas kapal sepanjang 347 meter itu, salah satu kapal kontena terbesar di dunia, katanya.
Beliau berkata dengan pencapaian itu, PTP kini menghampiri sasaran paras pencapaian 40 pergerakan sejam bagi produktiviti kren dan 200 pergerakan sejam bagi produktiviti dermaga.
Pencapaian tahap produktiviti ini juga membuktikan yang PTP boleh berdiri sama tinggi dari segi kecekapan dengan terminal-terminal terbaik di dunia, kata Mohamad Sidik.
Bulan lepas, PTP mencatat jumlah kendalian tertinggi sejak ia mula beroperasi dengan mengendalikan lebih 208,000 TEU (unit setara 20 kaki) sebulan.
PTP kini menawarkan enam dermaga sepanjang 350 meter setiap satu. Di belakang dermaga, terdapat kawasan simpanan kontena dengan kapasiti 110,000 TEU.