PTP labur RM1.26j beli 25 treler
Utusan Online
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melabur sejumlah RM1.26 juta bagi membeli 25 unit treler yang mana lapan unit treler ‘cornerless’ untuk operasi penggudangan di dalam kawasan pengedaran PTP telah diterima hari ini.
Kesemua lapan treler yang diterima daripada Tractors Malaysia Sdn. Bhd. mewakili kumpulan pertama daripada 25 unit treler ‘cornerless’ yang pada awalnya dijadualkan akan diserah menjelang pertengahan Jun 2001.
“Treler ‘cornerless’ itu merupakan sebahagian daripada strategi Pelabuhan Pelabuhan untuk meningkatkan produktiviti,” jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sidik Shaik Osman di dalam satu kenyataan.
Sebelum penghantaran treler baru ini, PTP mempunyai enam penggerak utama dan 27 chasis yang berfungsi sebagai alat pengangkutan untuk gudang-gudang dalam kawasan pengedaran.
“Treler-treler ini juga merupakan komitmen kami kepada para penyewa PTP di kawasan pengedaran,” katanya.
Penyewa dalam kawasan pengedaran sekarang termasuklah Pelepas Logistics, Kenwood Logistics, Tiong Nam dan Malaysian Industrial Estates (MIEL).
Mohd. Sidik berkata, syarikat-syarikat itu akan dapat menikmati kelebihan tempoh pengedaran yang lebih cepat dan mampu meningkatkan keseluruhan tahap perkhidmatan mereka.