29 Jun 2016

Ptp Labur RM8.6 Bilion Pertingkat Kapasiti

Berita Harian

New-Straits-Times,Logistic-section,Wednesday,-4-May-2016,-PTP-embarks-on-advanced-monitoring-systems.jpg

 

GELANG PATAH: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), anak syarikat MMC Corporation Bhd bakal melabur lebih RM8.6 bilion bagi rancangan menambah baik kapasiti pelabuhan itu bagi tempoh lima hingga 15 tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata sebagai pelabuhan berkembang pesat di dunia, pelaburan itu bagi memastikan PTP kekal kompetitif dan menjadi antara pelabuhan pilihan pelabur di Asia.

Katanya, rancangan meningkatkan kapasiti PTP itu adalah dengan menaik taraf pelabuhan secara menyeluruh termasuk kren dermaga, gantri beroda getah (RTG) dan penggantian kelengkapan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kontena.

"PTP merancang meningkatkan pengendalian kapasiti daripada 10.5 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) ketika ini kepada 13.2 juta setiap tahun.

"Ia akan disusuli pembangunan fasa ketiga pelabuhan yang dijangka bermula pada tahun 2018, membabitkan pembinaan enam dermaga baharu," katanya selepas lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke PTP dan menyempurnakan majlis Tijarah Ramadan, di sini malam tadi.

Che Khalib berkata, enam dermaga dengan sepanjang tiga kilometer akan dibina pada fasa 3A dan 3B bagi meningkatkan pengendalian kapasitinya kepada 22.2 juta TEU sebelum tahun 2030.

Ketika ini, PTP mengendalikan 14 dermaga sejauh Lima kilometer yang menjadikan ia hab pindah kapal utama di rantau ini.

PTP mencatat pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu selepas berjaya mencatat rekod pengendalian bulanan 800,000 TEU pada Ogos 2015, selain dinamakan pemenang Anugerah Pelabuhan Terbaik Malaysia 2014.