PTP Lancar Program Tuisyen BI di Gelang Patah
Utusan Malaysia
Nusajaya, 11 April - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Daerah Johor Bahru (PPDJB) melancarkan program Tuisyen Bahasa Inggeris untuk murid tahun enam di kawasan Gelang Patah di sini.
Program tahunan yang bermula Mac lalu hingga Julai ini diadakan di Sekolah Kebangsaan ( SK ) Nusantara, Gelang Patah, membabitkan 150 murid dari 13 buah sekolah dan 13 guru.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP,Azlan Shahrim berkata, program itu bertujuan membantu murid-murid berkenaan meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bahasa Inggeris serta mendorong dan menerapkan budaya penggunaannya sebagai bahasa kedua.
"Banyak peluang yang bakal menanti murid-murid yang berkebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Dengan adanya program seperti ini, kami amat berharap ia dapat mengubah persepsi mereka bahawa pembelajaran bahasa inggeris amat menyeronokkan, bukan membebankan," katanya semasa melancarkan program tersebut baru-baru ini.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru (Jabatan Bahasa Inggeris), Ruzana Saat.
Azlan berkata, murid-murid tersebut turut didedahkan dengan teknik menjawab soalan yang dikendalikan oleh guru-guru cemerlang yang dilantik oleh PPD JB.
Menurutnya, PTP telah menganjurkan program tersebut sejak 2008 dan sekolah yang terlibat adalah SK Tiram Duku, SK Pendas Laut, SK Morni Pok, SK Tanjung Kupang, SK Kompleks Sultan Abu Bakar, SK Taman Nusa Perintis 1, SK Nusantara, SK Gelang Patah, SK Ladang Pendas, SK Tanjung Adang, SK Kg Pulai, SK Sg Melayu dan SK Sikijang.
Sementara itu, Ruzana memuji inisiatif PTP itu bagi meningkatkan penguasaan bahasa inggeris dalam kalangan peserta kerana mereka bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ) dan berharap lebih banyak syarikat korporat lain mengikuti jejak langkah berkenaan.
"Penganjuran program seperti ini akan dapat membantu menigkatkan tahap pendidikan murid-murid terutamanya dalam penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," katanya.
Selain program Tuisyen Bahasa Inggeris, PTP turut merancang mengadakan kem motivasi, pengagihan bantuan persekolahan dan lawatan sambil belajar ke universiti tempatan sebagai program tanggungjawab sosialnya tahun ini.