11 Feb 2000

PTP lantik Sidik Ketua Pegawai Eksekutif

Utusan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Sidik Shaik Osman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut satu kenyataan PTP di sini, Mohd. Sidik yang menyertai syarikat berkenaan pada September 1997 telah berjaya membawa pasukan pengurusan PTP ke tahap yang membanggakan.

Ia menambah, beliau telah banyak memberi perkhidmatan dalam menyediakan kemudahan pelabuhan yang terkini serta perkhidmatan -perkhidmatan sampingan kepada semua pengguna pelabuhan.

Mohd. Sidik memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selama lima tahun bermula pada 1974.

Selepas itu selama lapan tahun beliau mengetuai bahagian pelabuhan di Kementerian Pengangkutan dan terlibat secara langsung dalam membangunkan beberapa pelabuhan utama.

Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang kajian maritim dari World Maritime University.