03 Jul 2000

PTP mula gunakan 2 dermaga baru

Utusan Malaysia

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mula menggunakan dua lagi dermaganya sepanjang 720 meter yang telah siap dibina sebagai tambahan kepada dua dermaga yang telah beroperasi sebelum ini.

PTP dalam kenyataannya di sini berkata, pembukaan dermaga tiga dan empat itu bertepatan dengan peningkatan yang ditawarkan oleh PTP.

"Kerja-kerja pembinaan sekarang ditumpukan kepada tiga lagi blok lapangan kontena yang berada di belakang Dermaga Tiga dan Empat.

"Tiga unit kren Super Post panamax bernombor tujuh, lapan dan sembilan telah dipasang pade Mei 2000 dan tambahan kren lagi akan dipasang pada Oktober 2000," kata kenyataan itu.

Melalui pembukaan kedua-dua dermaga itu, kenyataan itu berkata, PTP kini menawarkan kelebihan fleksibiliti kepada syarikat-syarikat perkapalan.

Katanya, lapangan kontena akan mempunyai jumlah ruang penyimpanan lantai sebanyak 14,740 unit manakala Kren Rubber Tyred (RTGs) yang kini berjumlah 24 unit di lapangan itu mampu menyimpan kontena setinggi lima tingkat.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, ekoran kawasan lapangan kontena yang luas, PTP buat masa ini hanya menyimpan kontena setinggi tiga tingkat bagi memastikan masa pengendalian yang cepat.