07 Nov 2003

PTP pasang Smartrail pada 67 kren RTG

Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengumumkan akan memasang semua 67 kren gantri beroda getah (RTG) miliknya di pelabuhan itu dengan pengendalian kotena automatik ‘Smartrail’.

Ketua Eksekutif PTP, Datuk Mohd Sidik Osman, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam berkata, sistem Smartrail itu diperoleh daripada Kalmar Industries ( Kalmar ).
 
“Ketika ini PTP mengendalikan kapal kontena terbesar dunia tetapi pesanan semasa oleh syarikat perkapalan semakin meningkat dan ia boleh memberikan tekanan kepada operasi terminal jika kecekapan tidak ditingkatkan,” katanya.
 
Mohd Sidik berkata, sehubungan itu, syarikat memutuskan untuk memasang sistem canggih Smartrail pada semua kren gantri di PTP bagi memastikan ia sentiasa mampu memberikan standard produktiviti tertinggi dan menaikkan statusnya.
 
Kalmar yang sebelum ini terbabit memasang sistem Smartrail di Jebel Ali bagi pihak Lembaga Pelabuhan Dubai ( DPA ) berjaya memasang sistem itu pada kren gantri di PTP tanpa menyebabkan gangguan kerja biasa terminal.
 
Kalmar juga sudah berjaya memasang Smartrail di semua kemudahan RTG milik sedia ada DPA serta ditambah enam mesin baru sebagai usaha mengekalkan kebolehpercayaan dan menghadapi peningkatan perniagaan.
 
“PTP mengendalikan 2.51 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena daripada Januari hingga September 2003. Kami mencatat lebih tiga juta TEU setahun dan kerja tanpa gangguan di terminal adalah penting,” katanya.
 
Dengan langkah syarikat perkapalan kontena utama dunia, Maersk Sealand dan Evergreen menjadikan PTP sebagai hab serantaunya di Asia Tenggara, pelabuhan itu berjaya mencatat perkembangan tinggi sejak dibuka pada Januari 2000.
 
Dengan jumlah kendalian yang terus meningkat pada 2003, PTP menjangka dapat memasuki senarai liga pelabuhan 20 terbaik dunia dan dengan siapnya fasa pembangunan kedua pada Julai 2004, ia akan mempunyai kapasiti mengendali enam juta TEU setahun