23 Apr 2015

PTP, PDB meterai kontrak RM51 juta

Utusan Malaysia


Zubair Abdul Razak (kanan) dan Glen Hilton bertukar-tukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Che Khalib Mohd. Noh dan Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus di Kuala Lumpur, semalamZubair Abdul Razak (kanan) dan Glen Hilton bertukar-tukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Che Khalib Mohd. Noh dan Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus di Kuala Lumpur, semalam

Kuala Lumpur - Lub Dagangan Sdn. Bhd. (LDSB), anak syarikat milik penuh Petronas Dagangan Bhd. (PDB) memeterai kontrak lapan tahun bernilai RM51 juta dengan pengendali pelabuhan persendirian terbesar di Malaysia, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) untuk membekalkan pelbagai jenis minyak pelincir kepada PTP.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)LDSB, Zubair Abdul Razak, berkata, menerusi perjanjian tersebut, PDB akan membekalkan pelbagai jenis minyak pelincir Industri dan Marin kepada PTP. Katanya, kerjasama baharu ini sememangnya mengukuhkan segmen perniagaan pelincir komersial LDSB seterusnya menandakan permulaan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua peneraju industri.

"Kontrak RM51 juta ini juga adalah bukti jelas terhadap keyakinan PTP kepada kualiti produk kami dan percaya terhadap tahap perkhidmatan kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan, CEO dan Pengarah Urusan PDB, Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus.

CEO PTP, Glen Hilton berkata, pemeteraian perjanjian tersebut akan membantu pertumbuhan operasi PTP dan menyokong inisiatif-inisiatif penambahbaikannya, terutama dalam bidang kecekapan, kaedah keselamatan pelincir dan pengurusan stok lebih baik. "Ia juga membolehkan kami memahami ketahanan jangka hayat enjin berdasarkan analisis pelincir.

"Kami gembira dapat memuktamadkan urus niaga dengan LDSB kerana kini kami boleh melangkah keluar daripada aturan tradisional 'Pelanggan-Pembekal' kepada model 'kerjasama' yang melangkaui sekadar membekalkan produk kepada mendengar dan memahami kehendak pelanggan dan menyediakan peruntukkan bagi perkhidmatan tambah nilai dan peralatan sokongan," jelasnya.

LDSB, merupakan anak syarikat milik penuh PDB dan menjalankan aktiviti penjualan serta pemasaran minyak pelincir PETRONAS di Malaysia. Perniagaan pelincir merupakan satu daripada empat perniagaan teras PDB, yang mencatatkan perolehan lebih daripada RM589 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.