PTP Pecah Rekod Kendali 18,000 TEU
UTUSAN Malaysia

Kuala Lumpur 22 Jan. – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), menjadi syarikat pelabuhan Malaysia pertama mengendalikan lebih 18,000 unit TEU(bersamaan 20 kaki) dalam satu kapal.
Kejayaan anak syarikat MMC Corporation Bhd. itu dicapai pada 13 Januari 2016 apabila Matz Maersk, satu daripada kapal perkhidmatan rangkaian 2M meninggalkan pelabuhan dengan rekod beban sebanyak 18,034 TEU.
Pengerusi PTP, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kapal itu tiba dari Yantian, China ke PTP dan kini dalam perjalanan melalui Terusan Suez ke Felixstowe kemudian Bremerhaven, Gdansk dan Rotterdam sebelum kembali ke Asia.
Menurut beliau, perancangan cekap, pelaksaan operasi kontena dan pengurusan sumber yang optimum dikenal pasti sebagai pendorong kepada pencapaian tersebut.
“Ia berjaya dicapai dengan semangat dan komitmen para pekerja sekaligus membuktikan komitmen PTP dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan kami.
“Kami percaya Maersk Line dan Mediterranean Shipping Company (MSC) berupaya mengembangkan perniagaan secara agresif berikutan pilihan pasaran yang lebih besar oleh 2M Alliance,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Meskipun berdepan keadaan ekonomi mencabar pada 2015, PTP berjaya mencatatkan sejumlah 9.1 juta TEU kontena tahun lepas, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2014.
Pertumbuhan positif PTP didorong oleh pertumbuhan organik dalam kalangan pelanggan sedia ada terutamanya kejayaan pelabuhan itu melaksanakan 2M Alliance.
2M Alliance adalah kerjasama penghantaran kontena terbesar dunia di antara Maersk Line dan MSC ke PTP.
PTP mencapai pelbagai kejayaan sepanjang 2015 antaranya berjaya merekodkan pemprosesan bulanan sebanyak 800,00 TEU pada Ogos lalu.