22 Sep 2015

PTP Pelabuhan Kontena Paling Sibuk

Sinar Harian

20150922-SinarHarian.jpg
Johor Bahru – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabuhan kontena paling sibuk di Negara ini apabila mengendalikan 80,000 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Glen Hilton berkata, rekod tersebut meletakkan pelabuhan berkenaan berjaya mencapai sasaran jumlah kendalian kontena sebanyak 9.2 juta TEU menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, selain itu, jumlah kontena yang menggunakan perkhidmatan PTP bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Penambahbaikan positif ke atas produktiviti dalam operasi kontena dan pengoptimuman sumber yang lebih baik dilihat sebagai sebab utama peningkatan ini.

“Dengan sokongan yang kukuh daripada pelanggan PTP sedia ada dan penambahan pelanggan baharu, kami yakin bahawa PTP akan berterusan mengalami pertumbuhan yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Glen berkata, tahun lepas, PTP telah mengendalikan 8.5 juta TEU dan pada masa yang sama menjadi  pelabuhan pertama di Malaysia untuk mencapai tahap tersebut.

“PTP juga salah satu daripada hanya tiga pelabuhan  di dunia yang mencatatkan pertumbuhan dua angka dan ke-18 diletakkan di pelabuhan kedudukan bahagian dunia pada 2014,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PTP dalam fasa kedua pelan induk membabitkan pembinaan dua dermaga baharu dan sebagainya dan perkembangan ini diharap dapat meningkatkan kendalian sebanyak 25 peratus kepada 10.5 juta TEU setiap tahun.