22 Sep 2015

PTP Pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia

Berita Harian

20150922-BeritaHarian.jpg
Tanjung pelepas (PTP) mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia apabila mencatatkan pengendalian 800,000 unit (TEU) pada bulan Ogos lalu, rekod pengendalian tertinggi setakat ini.

Pencapaian itu meletakkan PTP di kedudukan selesa untuk mencapai pengendalian kontena 9.2 juta TEU bagi tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Glen Hilton(gambar), berkata jumlah pengendalian kontena PTP untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini mencatat pertumbuhan 8.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, penambahbaikan positif dalam produktivitinya pengendalian kontena dan penggunaan sumber optimum adalah faktor utama kepada pencapaian terkini itu.
 
Pertumbuhan Berterusan
“Dengan sokongan padu pelanggan sedia ada PTP dan juga pelanggan baharu, pihaknya yakin PTP berada di landasan kukuh untuk terus mencatat pertumbuhan berterusan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Tahun lalu, PTP mengendalikan 8.5 juta TEU kontena dan pada masa sama muncul pelabuhan pertama di Malaysia mencapainya.

PTP juga adalah satu daripada tiga pelabuhan di dunia yang mencatat pertumbuhan dua angka dan berada pada  kedudukan ke 18 dalam senarai pelabuhan utama dunia pada tahun 2014.
Ia menyiapkan fasa kedua pelan induk menerusi rancangan pembesaran yang membabitkan pembinaan dua dermaga baharu, tiga blok limbungan kontena, dua kren baharu dan elektrifikasi gantri bertayar getah sedia ada.

Kerja pembesaran itu memberikan PTP tambahan panjang limbungan sebanyak 720 meter dan meningkatkan keupayaan pengendalian kontena tahunan 25 peratus kepada 10.5 juta TEU.

PTP adalah usaha sama antara MMC Corporation Bhd yang menguasai 70 peratus kepentingan, dan baki oleh APM Terminals.