PTP pelabuhan pertama Berjaya kendali lebih 18,000 TEU
Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) anak syarikat MMC Corporation Bhd, memulakan 2016 dengan cemerlang apabila muncul pelabuhan pertama Malaysia Berjaya mengendali lebih 18,000 TEU untuk sebuah kapal.
Kejayaan itu dicapai pada 13 Januari lalu apabila kapal Matz Maersk, satu daripada angkatan kapal di bawah 2M Alliance, meninggalkan pelabuhan itu dengan rekod muatan 18,034 TEU.
Kapal itu tiba dari Yantian, china untuk berlabuh di PTP dan ia kini berlayar menerusi Terusan Suez ke pelabuhan Felixstowe disusuli pebuhan Bremerhaven, pelabuhan Gdansk, pelabuhan Rotterdam sebelum pulang ke Asia.
Perancangan berkesan, kelancaran operasi dan penggunaan sumber optimum dikenal pasti sebagai pendorong kejayaan itu.
Pengerusi PTP yang juga Pengarah urusan MMC Group, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata pencapaian terkini itu adalah bukti kepada komitmen padu pelabuhan itu dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Ia adalah kejayaan penting buat kami dan ia berjaya kerana semangat dan komitmen kakitangan kami.
“Kita akan terus membangun dan mengukuhkan prestasi, selain menyediakan perkhidmatan terbaik bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Agresif Perluas perniagaan
Che Kalib berkata, sama seperti tahun lalu, pihaknya percaya kedua-dua Maersk Line MSC bersedia untuk mengembangkan perniagaan masing-masing secara agresif tahun ini, berikutan kelebihan ditawarkan 2M Alliance akan menawarkan opsyen pasaran yang lebih besar.
Beliau berkata, sungguhpun berhadapan tinjuan ekonomi mencabar pada tahun 2015, PTP berjaya mencatat pengendalian keseluruhan sebanyak 9.1 juta TEU tahun lalu, peningkatan 7.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan positif PTP itu dipacu pertumbuhan organik pelanggan sedia ada, terutama kejayaan pengaturan 2M Alliance yang adalah kerjasama penghantaran kontena terbesar di dunia antara Mearsk Line dan Mediterranean Shipping Company (MSC) kepada PTP.
PTP mencatat pelbagai kejayaan sepanjang 2015 selepas ia Berjaya mencatat rekod pengendalian bulanan 800,000 TEU pada ogos 2015 dan juga dinamakan pemenang Anugerah Pelabuhan Terbaik Malaysia 2014.