PTP pelabuhan terbesar di Asia Tenggara 2004
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, dijangka menjadi antara pelabuhan antarabangsa terbesar di Asia Tenggara, mulai 2004.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, matlamat itu akan tercapai apabila semua 12 dermaga besar di PTP beroperasi sepenuhnya secara serentak.
“PTP akan membina enam buah dermaga lagi meliputi kawasan 242,81 hektar. Kerja-kerja pembinaan itu dijangka mengambil masa satu setengah tahun.
“PTP kini ada enam dermaga. Apabila bertambah kepada 12 dermaga, PTP mampu menguruskan enam hingga tujuh juta TEU setahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mendengar taklimat terkini pentadbiran Pelabuhan tersebut di PTP, di sini hari ini.
Kata Menteri Besar Johor itu, beliau juga dimaklumkan yang kos pembinaan dermaga-dermaga tambahan itu akan melibatkan RM3 bilion.
Menurut beliau, setiap dermaga tersebut mempunyai keupayaan mengendalikan 600,000 TEU setahun.
“Cadangan PTP untuk menambah dermaga membuktikan kejayaan besar PTP dan permintaan terbaik daripada syarikat-syarikat gergasi dunia untuk menguruskan kargo masing-masing,” ujarnya.
Beliau menyatakan PTP juga memaklumkan tahun ini pihak mereka dijangka menguruskan dua juta TEU berdasarkan tempahan dan permintaan semasa.