PTP perkenalkan perkhidmatan M&R kontena
Utusan Online
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah membina kemudahan penyelenggaraan dan pembaikan (M&R) kontena mengikut piawai antarabangsa di perkarangan kontena pelabuhan.
Pelepas-Brigantine Container Services Sdn Bhd, usaha sama PTP dengan Brigantine Services Limited of Hong Kong, akan menawarkan semua aspek penyelenggaraan dan pembaikan kontena kepada sistem perkapalan utama yang menggunakan perkhidmatan PTP.
Syarikat itu diperbadankan pada 29 Januari tahun ini dengan perkhidmatan dijangka bermula pada akhir bulan ini, kata PTP dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kawasan limbungan seluas 18,000 meter persegi itu juga akan dijadikan sebagai kawasan simpanan bagi peletakan semula kontena kosong PTP.
PTP menyatakan langkah itu adalah untuk memenuhi keperluan syarikat perkapalan dan sebagai perkhidmatan tambah nilai kepada operasi sedia ada. Depot itu dijangka menawarkan perkhidmatan pembaikan kontena, pembersihan, pencucian dan simpanan kontena kosong.
Sebagai menampung permintaan yang semakin meningkat, PTP telah meningkatkan kemudahannya untuk mengendalikan perdagangan tempat penyejukan dengan soket elektrik semasa yang sedang beroperasi meningkat kepada 1,470 mata.