PTP, PPD anjur tuisyen bahasa Inggeris
Berita Harian

GELANG PATAH : Pelabuhan Tanjung Pelepas ( PTP ) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah ( PPD ) Johor Bahru melancarkam program Bahasa Inggeris PTP untuk murid Tahun Enam sekitar kawasan Gelang Patah.
Pada tahun ini, program selama empat bulan bermula dari Mac membabitkan kira-kira 150 murid dan 13 guru dari 13 sekolah rendah sekitar kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim, berkata program itu bertujuan membantu murid berhampiran PTP meningkatkan penguasaan dalam bahasa inggeris serta mendorong dan menerapkan budaya menggunakannya sebagai bahasa kedua.
"Banyak peluang tersedia dan boleh di rebut pelajar yang mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris terutama jika kita melihat pembangunan Johor yang semakin bertambah maju dan pesat.
"Kami berharap program ini akan menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa pembelajaran bahasa inggeris tidak sukar, malah menyeronokkan selain terdapat latihan teknik menjawab yang akan dijalankan oleh Guru Cemerlang dilantik oleh PPD Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan.
Azlan berkata, PTP sudah menganjurkan program Tuisyen Bahasa Inggeris sejak tahun 2008 dan antara sekolah yang pernah terbabit dalam program itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Tiram Duku, SK Pendas Laut, SK Morni Pok, SK Tanjung Kupang, SK Tanjung Adang, SK Kompleks Sultan Abu Bakar, SK Taman Nusa Perintis 1, SK Nusantara, SK Kg Pulai, SK Sikijang,SK Ladang Pendas, SK Gelang Patah dan SK Sungai Melayu.
"Selain program ini, terdapat beberapa kegiatan lain berkaitan pendidikan dirancang PTP tahun ini termasuk kem motivasi, program 3M Mastering, lawatan pendidikan ke universiti tempatan serta pengagihan bantuan persekolahan," katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah di Jabatan Bahasa Inggeris, Ruzana Saat, berkata inisiatif pihak PTP harus dipuji dan menjadi ikutan badan korporat lain.
"Dengan penganjuran program ini, ia akan membantu meningkatkan tahap pendidikan pelajar kita, terutama menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Prograsm ini juga akan member manfaat kepada pelajar dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya.
Murid Tahun Enam, Muhammad Aisar Shah Arshad, dari SK Pendas Laut, berkata dia gembira selepas dipilih sekolah untuk menjadi peserta dalam program berkenaan.
"Program seperti ini akan membantu saya membuat persediaan menduduki UPSR. Teknik yang diajar juga bermanfaat dalam menjawab soalan," katanya.