29 Aug 2010

PTP pupuk muafakat penduduk

Sinar Harian

Desa Paya Mengkuang - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jawatan-kuasa Masjid Al-Irsyad, menganjurkan program Semarak Ramadhan di sini, semalam.

Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat PTP, Md Derick Basir berkata, inisiatif dan kerjasama di antara syarikat korporat dengan agensi kerajaan seperti RTM Johor mampu memupuk semangat perpaduan, kerjasama serta permuafakatan sesama penduduk.

"Program sehari ini melibatkan aktiviti bergotong-royong secara bersama untuk menyiapkan juadah berbuka puasa untuk 200 tetamu selain persiapan menyediakan bubur lambuk sebanyak 2,000 bungkusan untuk diedarkan kepada penduduk termasuk kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata, program ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara masyarakat sekitar dengan syarikat korporat seperti PTP.

"Ianya juga bagi mendukung hasrat kerajaan untuk membantu dan menyumbang kearah pembangunan masyarat melalui inisiatif Tanggungjawap Korporat Sosial (CSR) yang dijalankan PTP," katanya ketika ditemui.

Katanya, PTP sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat setempat khususnya di kawasan Gelang Patah manakala segala sumbangan yang diberikan bermatlamat memupuk dan mengukuhkan taraf hidup masyarakat sekitar.

"Program ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan amal ibadah bagi yang terlibat untuk mendapatkan keberkatan-NYA, katanya.

Md Derick berkata, matlamat program ini tercapai melalui kerjasama yang terjalin diantara pihak PTP, RTM Johor dengan penduduk dapat diteruskan bagi mengukuhkan lagi hubungan antara satu sama lain.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian dan beberapa Ketua Jabatan PTP.