PTP, Ramco meterai perjanjian
Harian Metro
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), anak syarikat MMC Corporation bhd memeterai perjanjian bersama Ramco Systems Limited (Ramco)sebagai usaha untuk memperkasa pelan tindakan digital syarikat pelabuhan itu.
Kerjasama itu bagi membantu PTP untuk menaik taraf sistem Perancangan Sumber Daya Perusahaan (ERP) yang dimilikinya ketika ini bagi memperkukuh kecekapan operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, inisiatif dua pihak itu turut membuktikan komitmen pihaknya dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.
Beliau berkata, dengan kemajuan teknologi yang mengubah landskap dunia, penting kepada PTP untuk terus berdaya saing dan menarik.
“Dengan melabur dalam teknologi terkini, syarikat terus mewujudkan terminal sebagai salah satu pelabuhan terminal yang paling lengkap dengan teknologi termaju di rantau ini,” katanya dalam kenyataan disini, semalam.
Neelsen berkata, pihaknya juga mahu memilih rakan kongsi penyelesaian digital dengan medium yang dapat membantu PTP dari segi pertumbuhan untuk operasi pelabuhan.
“Malah, dengan rakan kongsi ini juga, mereka dapat memberi platform yang tepat untuk mengintegrasikan teknologi maju.
“Dengan produk dan perkhidmatan yang diberikan Ramco kepada kami, kami percaya ia memberi manfaat kepada syarikat dengan lebih baik,” katanya.
Di bawah perjanjian itu, Ramco akan melaksanakan fungsi ERP yang komprehensif meliputi perolehan, inventori, kewangan, penyelenggaraan, pengurusan pinjaman, perancangan dan belanjawan.