PTP sasar kendali dua juta TEU kontena
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) mensasarkan peningkatan 100 peratus atau dua juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kontena menjelang Oktober tahun ini, sekali gus meletakkannya pelabuhan baru terbaik di Asia Tenggara.
Sasaran itu dibuat selepas PTP berjaya mengendalikan kontena yang kesejuta TEU, Jumaat lalu, walaupun ia baru beroperasi Oktober 1999.
Pengerusi PTP, Datuk Taufik Abdullah, berkata sasaran yang dibuat itu tidak mustahil dicapai memandangkan pada empat bulan pertama tahun ini, PTP sudahpun mengendalikan 540,000 TEU kontena.
Memandangkan perkembangan pesat dalam urusan kontena kendalian PTP, Taufik turut mengandaikan pelabuhan itu mampu mengendalikan sejumlah 2.95 juta TEU tahun ini dan 3.45 juta TEU tahun depan.
“Jika sasaran itu berjaya dilakukan, ia dijangka akan memintas Pelabuhan Klang terutama dalam pengurusan pengendalian kargo.
“Ketika ini Pelabuhan Klang mengendalikan sejumlah 1.3 juta TEU, walaupun pada tahun lalu pelabuhan itu menguruskan kira-kira 3.25 TEU,” katanya pada majlis sambutan TEU kesejuta di PTP, dekat Gelang Patah, Johor, kelmarin.
Beliau berkata, PTP mempunyai wawasan yang tinggi yang mana segala urusan dan kendalian kontena di pelabuhan itu dilakukan dengan lancar dan berkesan sekali gus menarik minat syarikat perkapalan sebagai tambahan kepada 12 laluan antarabangsa sedia ada.
Sebagai pelabuhan yang komited kepada pertambahan permintaan, kata Taufik, PTP kini merancang untuk mempercepatkan proses pembangunan baru di kawasan itu pada akhir tahun ini.
“Sejumlah RM400 juta dibelanjakan sebagai tambahan kepada pembelian pelbagai kelengkapan baru tidak lama lagi dan seterusnya menjadikan ia sebagai pelabuhan yang terbesar dari segi saiz dan kuantiti,” katanya.
Katanya, PTP kini merancang untuk menjalinkan hubungan erat dengan pelabuhan lain di seluruh dunia sebagai strategi untuk meningkatkan lagi rangkaian laluan kapal yang belayar dari PTP.
“PTP kini sudah pun mempunyai hubungan baik dengan 100 pelabuhan lain dan kerjasama erat dengan pelabuhan baru lain membolehkan PTP berdaya maju,” katanya.