PTP sasar pertumbuhan operasi 20 peratus
Utusan Malaysia
Oleh KAMIL MASLIH
JOHOR BAHRU 30 April - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat sini menjangka mencatat pertumbuhan sebanyak 20 peratus dalam jumlah operasinya menerusi kerjasama dengan syarikat perkapalan nasional, MISC.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Harun Johari berkata, MISC merupakan syarikat perkapalan kargo ketiga terbesar menggunakan PTP sebagai pelabuhan hab mengikuti langkah Maersk dan Evergreen yang masing-masing beroperasi sejak tahun 2000 dan 2002.
" Persefahaman yang terjalin itu juga menunjukkan PTP merupakan pelabuhan yang fleksibel dan proaktif dalam memenuhi keperluan dan aspirasi pelanggan,'' katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menerusi kerjasama tersebut, sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan melibatkan PTP dan MISC bagi mempromosikan laluan perkapalan bagi pelabuhan berkenaan.
Memorandum persefahaman mengenai kerjasama itu telah diadakan di PTP, Gelang Patah hari ini yang menyaksikan PTP memiliki 70 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama itu, manakala 30 peratus lagi merupakan pegangan MISC.
Pada majlis itu, PTP diwakili Harun, manakala MISC diwakili Naib Presidennya, Niels Kim Balling.
Syarikat usaha sama itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan dan ia akan turut memainkan peranan bagi memperluaskan rangkaian operasi MISC.