PTP sedia tambah kemudahan
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas Sdn Bhd, pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya Johor, kini bersedia untuk mengembangkan kemudahan sedia adanya bagi menampung pertumbuhan perdagangan kontena global bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Eksekutifnya, Harun Johari, (gambar) berkata ini selari dengan jangkaan perdagangan kontena global yang diunjurkan berkembang pada purata lapan hingga 10 peratus setahun dalam tempoh berkenaan.
“Permintaan bagi kapasiti pelabuhan ini untuk mengendalikan pertumbuhan berkenaan akan menjadi ketara,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Sementara pelabuhan lain di seluruh dunia diunjurkan menghadapi cabaran daripada segi kekangan kapasiti, beliau berkata, PTP tidak akan berada dalam kedudukan serupa.
Justeru, katanya, adalah penting bagi pelabuhan itu melabur dalam kapasiti secara tepat untuk memastikan mereka tidak berdepan masalah dalam rantaian bekalan.
“Dengan adanya ruang yang banyak bagi pengembangan, kami bersedia untuk menampung keperluan pelanggan sedia ada dan yang baru,” katanya
Harun menambah, bagi menampung permintaan yang berkembang, PTP menerima empat kren pelabuhan baru dan lapan kren gantri bertayar getah lapan (RTG) tahun lalu.
Katanya, syarikat juga membuat tempahan bagi tambahan kelengkapan baru untuk menambah kumpulan kren jeti barunya sedia ada, selain kren RTG, kepala trak dan jentera penyusun.
Beliau berkata, kelengkapan tambahan itu akan dihantar berperingkat mulai bulan ini dengan penghantaran terakhir dijangka pada Oktober. - Bernama