PTP siapkan rumah RM87j untuk penduduk kampung
Berita Harian
Johor Bahru : Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sudah menyiapkan sepenuhnya Skim Perumahan Penempatan Semula Desa Paya Mengkuang, di sini, membabitkan kos kira-kira RM87 juta bagi menempatkan penduduk perkampungan yang terbabit dalam pembangunan pelabuhan ini.
Jurucakap PTP berkata, skim perumahan itu adalah satu-satunya projek perumahan desa yang lengkap dengan pelbagai kemudahan moden, terkini dan ia adalah sebahagian sumbangan serta tanggungjawab sosialnya dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk desa di sekitar kawasan pelabuhan.
Katanya, Desa Paya Mengkuang dilengkapi kemudahan seperti Balai Polis, Klinik Desa yang lengkap dengan kediaman untuk pegawai dan kakitangan, dean serbaguna, bangunan tadika, sekolah agama, serta masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa.
“Jenis rumah yang ditawarkan adalah rumah teres bentuk kos rendah dua tingkat sebanyak 193 unit, rumah teres setingkat sebanyak 155 unit, rumah teres dua tingkat sebanyak 55 unit dan kedai setingkat sebanyak 28 unit.
“Dengan saiz keseluruhan kawasan seluas 32 hektar, PTP membiayai sepenuhnya kos pembangunan Desa Paya Mengkuang yang berjumlah kira-kira RM87 juta,”katanya di sini, semalam.
Menurutnya, PTP sudah menawarkan unit perumahan yang siap di Desa Paya Megkuang kepada penduduk yang terbabit yang mana harga rumah yang ditawarkan juga sudah disubsidikan.
Katanya, penduduk terbabit adalah dari perkampungan berhampiran termasuk Kampung Tanjung Adang, Tiram Duku, Tanjung Kupang, Kampung Ladang, Kampung Pok dan Pekajang.
Desa Paya Mengkuang terletak di lokasi strategic iaitu bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB) Laluan Kedua Malaysia-Singapura sejauh lima kilometer dari PTP dan hanya sejauh 1.2 kilometer daripada persimpangan Jalan Gelang Patah ke Pendas