05 Jun 2015

PTP sumbang RM 20,000 untuk MERCY Malaysia

Utusan Malaysia

Gelang Patah 4 Jun – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menunaikan tanggungjawab social dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Bantuan Perubatan (MERCY) Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Hanif Hamid berkata, wang tersebut yang dikumpul dalam tempoh sebulan adalah hasil sumbangan yang diperoleh daripada kakitangan PTP dan para kontraktor yang terbabit secara langsung dalam PTP.

"Kita berbesar hati dengan semangat yang ditunjukkan yang mana mereka yang berlumba-lumba untuk menghulurkan sumbangan dan wang itu akan diserahkan kepada Mercy untuk membantu beribu mangsa yang cedera kesan daripada bencana pada 24 April tersebut yang meragut kira-kira 8,000 nyawa.

"Di PTP kita mempunyai 1,100 warga Nepal yang bekerja sebagai pekerja kontrak dan daripada jumlah itu seramai 358 orang, keluarga mereka terbabit secara langsung dengan gempa bumi. Sebagai tanda prihatin kite benarkan pulang ke Nepal bagi menziarahi keluarga mereka," katanya.

Hanif berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan replika cek bernilai RM20,000 kepada Ahli Majlis Eksekutif Mercy, Dr Shalimar Abdullah.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 skala Richter yang melanda Nepal, pada 24 April lalu, telah mengorbankan kira-kira 8,000 orang manakala beribu lagi cedera.

Sementara itu Dr.Shalimar yang menyertai misi bantuan khidmat nasihat serta rawatan selama seminggu di Nepal pada awal Mei lalu berkata, antara cabaran utama bagi menyempurnakan misi tersebut ialah peralatan perubatan yang tidak mecukupi.

"Pasukan seramai tujuh orang itu memberikan bantuan khidmat nasihat serta rawatan selama seminggu di beberapa klinik Mercy yang dibina menggunakan khemah. Kekangan lain adalah soal kebersihan dan bekalan air bersih yang sekali gus menjejaskan kerja pembedahan," katanya.