PTP Sumbang RM20,000 Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal
Bernama
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini menyumbang RM20,000 kepada MERCY Malaysia untuk membantu usaha badan itu memulihkan kembali kehidupan mangsa gempa bumi di Nepal.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP Hanif Hamid berkata dengan sumbangan berkenaan, organisasi bukan berasaskan keuntungan itu mampu membantu mereka yang terjejas dengan lebih berkesan, terutamanya membantu mereka membina semula kehidupan masing-masing.
"Pada masa ini terdapat 1,100 pekerja kontrak bekerja di PTP. Berdasarkan rekod semasa kami, kira-kira 358 keluarga pekerja kontrak terjejas secara langsung oleh gempa bumi itu, kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terminal kontena terbesar Malaysia itu juga sedang bekerjasama dengan rakan niaganya untuk membantu pekerja Nepal di PTP yang menerima kesan daripada tragedi baru-baru ini dengan memberikan motivasi dan bantuan kewangan kepada mereka.
"Kami percaya adalah penting untuk kami terus menunjukkan sokongan yang berterusan dan bekerja keras membantu mereka membina kembali kehidupan selepas bencana yang dahsyat itu," kata Hanif