PTP suntik semangat murid
Sinar Harian
150 murid rasai pengalaman aktiviti bilik darjah
SKUDAI – Seramai 150 murid sekolah rendah merasai pengalaman berbeza dari rutin persekolahan mereka apabila dibawa berkhemah selama 2 hari satu malam, baru-baru ini.
Pengalaman berharga buat murid dari 10 sekolah terpilih di Jabatan Laut, Gelang Patah anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Mereka merupakan murid yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Pengurus Besar bahagian Komunikasi Korporat, Hartanah dan Zon Bebas, Md Derick Basir berkata, ia merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial memberi suntikan motivasi dan membina jati diri serta persediaan mental untuk menghadapi peperiksaan UPSR akan datang.
“Selama perkhemahan dua hari ini murid-murid ini didedahkan dengan amalan kebajikan yang baik seperti disiplin diri, berdikari, memiliki rasa tanggungjawab dan bekerja sebagai sebagai satu pasukan,” katanya.
Derrick berkata, program ini merupakan salah satu usaha memastikan anak-anak daripada komuniti tempatan tampil baik di sekolah, mendapatkan keputusan yang bagus dengan apa yang dilakukan.
“Hanya ini yang dapat disumbangkan PTP, namun apa yang lebih penting lagi ibu bapa harus memahami bahawa mereka juga mempunyai peranan besar dalam perkembangan anak-anak mereka,” katanya.
Sementara itu, bagi peserta Nur Jahirah Hamzah dari Sekolah Kebangsaan Tiram Duku berkata, dia amat bertuah dipilih untuk menyertai program tersebut.
“Menyertai Kem Motivasi ini menyedarkan saya mengenai pengtingkan pelajaran dan bagaimana ia mampu mengubah nasib keluarga,” katanya.
Bagi guru dari Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1, Normah Tan Abdullah berkata, setiap tahun PTP akan menganjurkan program-program yang boleh dimanfaatkan murid dan menyeru badan korporat lain melakukan perkara yang sama.
“Ia membuktikan PTP juga boleh memainkan peranan penting dalam perkembangan pelajar khususnya dalam komuniti.
“Ia merupakan tahun keempat, PTP mengajurkan program begini, dan sepanjang perlaksanaanya ia menampakkan hasil positif kepada pelajar,” katanya.
Normah berkata, terdapat peningkatan kecemerlangan keputusan UPSR dari tahun ke tahun iaitu sebanyak empat murid mendapat 5A pada 2006, manakala 15 murid pada tahun 2010 dengan peningkatan 57 peratus pada 2006 manakala 74 peratus pada 2010.
Selain daripada kem motivasi dan program berlandaskan pendidikan, antara program tanggungjawab sosial yang dirancang bagi tahun 2011 ini ialah Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris yang diberikan secara percuma bagi pelajar UPSR.