26 Mar 2009

PTP taja Utusan Malaysia, ADaP ke 18 sekolah

www.utusan.com.my

JOHOR BAHRU 26 Mac - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menaja akhbar Utusan Malaysia dan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) bernilai RM10,440 kepada 18 buah sekolah di Gelang Patah, dekat sini kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Ismail Hashim berkata, tajaan itu sejajar dengan hasrat PTP untuk memberi bantuan berbentuk pendidikan kepada masyarakat di daerah itu.

"Dengan penajaan ini, diharapkan ia dapat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk belajar dengan lebih gigih supaya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek tajaan itu kepada Penolong Pengurus Wilayah Selatan Utusan Melayu (M) Bhd., Tengku Izham Tengku Adnan di pelabuhan berkenaan.

Akhbar tajaan itu akan diedarkan kepada 14 buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah.
Sekolah rendah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Patah, SK Sikijang, SK Ladang Pendas, SK Pendas Laut, SK Tiram Duku, SK Tanjong Adang, SK Morni Pok dan SK Tanjung Kupang.

Turut menerima tajaan adalah SK Kampung Pulai, SK Kompleks Sultan Abu Bakar, SK Taman Nusa Perintis, SK Nusantara, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Ming Terk dan SJK Tamil Gelang Patah.

Bagi sekolah menengah pula, tajaan diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar, SMK Taman Nusajaya dan SMK Gelang Patah.

Sementara itu, Ismail berkata, PTP juga telah menganjurkan pelbagai program pendidikan khusus kepada para pelajar di Gelang Patah.

"Kami telah mengadakan program motivasi untuk para pelajar yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kelas tuisyen dan sumbangan komputer terpakai juga diberikan kepada para pelajar terpilih," katanya.