31 Aug 1999

PTP tawar 403 rumah kepada penduduk

Berita Harian

JOHOR BAHRU, Isnin - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn. Bhd. dijangka mula menawarkan 403 unit rumah kepada penduduk kampung yang terbabit dalam pengambilan semula tanah di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini, dalam tempoh dua bulan lagi.

Pengurus Besarnya, Mustafa Abd Hamid, berkata tender bagi pembangunan projek perumahan berkenaan telah pun di keluarkan.

Buat masa ini, katanya, PTP sedang menyiapkan laporan bagi menentukan harga rumah di Taman Paya Mengkuang itu yang akan dihantar kepada Pegawai Daerah Johor Bahru.

"Kami belum dapat menetapkan harga rumah di taman perumahan itu kerana kerja menyiapkan laporan mengenainya masih dijalankan. Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

"Selepas mendapat kelulusan itu, kami akan mula menawarkan unit rumah berkenaan kepada penduduk terbabit dalam pengambilan semula tanah bagi projek berkenaan,"katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Projek perumahan di Taman Paya Mengkuang membabitkan pembinaan 403 unit pelbagai jenis rumah dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Projek perumahan yang terletak di Taman Paya Mengkuang, Gelang Patah itu di jangka mampu menempatkan semula hampir 300 penduduk kampung yang terbabit dalam pengambilan semula tanah ke rumah yang lebih selesa.

Ini termasuk 100 keluarga yang masih menetap di rumah panjang dua bilik di Kampung Tanjung Kupang.

Jenis-jenis rumah yang akan dibina di Taman Paya Mengkuang itu ialah rumah teres dua tingkat, rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat kos rendah dan lot rumah kedai.

Sehubungan dengan itu Mustafa berkata, sehingga kini PTP belum menawarkan unit rumah berkenaan kepada penduduk terbabit kerana laporan mengenai penetapan harga rumah berkenaan sedang disiapkan.

"Kita akan siapkan laporan itu dalam tempoh dua bulan ini untuk dihantar kepada Pegawai Daerah Johor Bahru untuk kelulusan. Selepas mendapat kelulusan itu kita akan tawarkan unit rumah itu kepada penduduk terbabit,"katanya