PTP tawar khidmat edar industri automobil
Utusan Malaysia
GELANG PATAH 10 Dis. - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mampu menjadi pelabuhan moden yang terunggul, menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk menjadi pusat pengedaran industri automobil di rantau Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman berkata, dalam tempoh empat hingga lima tahun sahaja, PTP telah mencatat kejayaan yang membanggakan, malah mula mendapat perhatian masyarakat dari seluruh dunia.
Beliau berkata, kemudahan yang disediakan di PTP adalah antara yang paling canggih serta kos penyelenggaraan dan pergudangan yang paling menjimatkan.
``Kedudukannya yang strategik serta langkah-langkah yang diambil oleh pihak pengurusan khasnya dalam usaha mendapatkan pengiktirafan pelabuhan ini sebagai Zon Perdagangan Bebas adalah antara faktor yang turut menarik perhatian syarikat luar untuk bertapak di sini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Pusat Pengedaran Alat-alat Ganti Serantau terbaru BMW di PTP.
Menurut beliau, antara syarikat besar yang mula melabur di situ ialah kumpulan automobil terkenal Kumpulan BMW menyertai pusat kegiatan (hub) di Asia Tenggara yang sedang berkembang pesat ini membuktikan potensi dan masa depan cerah PTP.
``Dengan kemasukan kumpulan BMW untuk membina Pusat Pengedaran Alat-alat Ganti Serantau barunya, maka PTP telah mengambil satu langkah ke hadapan yang penting di dalam usaha kami untuk mendapat status Zon Bebas PTP sebagai pusat pengedaran dan logistik terkemuka.
``Penyertaan Kumpulan BMW menampilkan keyakinan kumpulan tersebut kepada keupayaan dan masa depan pelabuhan ini,'' katanya.
Menurut Mohd. Sidik, PTP memulakan sejarahnya kira-kira empat tahun lalu dengan kedudukan yang dianggap sebagai terpinggir, PTP kini dianggap sebagai antara pelabuhan popular.