PTP terima 2 kren Post Panamax
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) semalam menerima dua kren terakhir bagi Fasa 1 pembangunannya iaitu dua unit kren dermaga Super Post Panamax daripada MMC-ZPMC dari China.
PTP kini memiliki 24 unit kren dermaga Super Post Panamax bagi Fasa 1, meningkatkan kapasiti pelabuhan itu kepada antara 4.5 juta hingga lima juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setahun.
Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman, berkata, kedua-dua kren itu yang serupa dengan tiga lagi kren ZPMC mempunyai jangkauan 60 meter dan kapasiti mengendalikan 22 kontena dari kapal kontena.
Selain dilengkapi pengembang lif berkembar yang mampu mengendalikan dua unit TEU pada satu masa, kren itu dilengkapi dengan sistem gantri bersendi yang membolehkannya mudah bergerak antara Fasa I dan Fasa II PTP.
“Penghantaran ini tepat pada masanya memandangkan peningkatan jumlah yang dikendalikan di PTP.
“Kren itu juga yang terbesar di Asia Tenggara dan menyediakan PTP untuk kapal kontena generasi akan datang,” katanya.
PTP adalah sebuah pelabuhan yang berkembang pesat di Asia Tenggara dengan pengendalian kontena 2.05 juta TEU tahun lalu, tahun kedua operasinya.
Fasa Satu PTP termasuk 2.16 km dermaga linear yang terdiri daripada enam tempat kapal berlabuh sepanjang 360 meter setiap satu, limbungan 110,000 TEU kontena, yang adalah satu daripada kemudahan penyimpanan kontena terbesar di rantau ini serta 22 kren dermaga Super Post Panamax. – Bernama.