PTP terima Anugerah Terminal Mesra Alam
Baru-baru ini Pelabuhan Tanjung Pelepas ( PTP ) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Terminal Mesra Alam pada Majlis Frost & Sullivan Asia Pasifik 2012 yang diadakan di Hotel Shangri La, Singapura atas usaha syarikat berkenaan dalam menjaga kepentingan alam sekitar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim berkata, phaknya berbesar hati menerima penghargaan tersebut yang merupakan hasil usaha kolektif kakitangan dalam melakukan tugas luar biasa apabila mengurangkan penggunaan tenaga yang berlebihan dengan proses perniagaan yang mapan.
Anugerah Kecemerlangan Hijau ini diwujudkan agar syarikat-syarikat yang menunjukkan kemajuan ketara dalam meningkatkan kemapanan jangka panjang dan menguruskan kesan alam sekitar dalam operasi mereka.
"Sememangnya satu keistimewaan untuk meraikan komitmen dan kejayaan penerima anugerah dalam usaha mereka menjaga alam sekitar," katanya.
Beliau berkata, penerima anugerah telah dinilai berdasarkan impak sosial, pertumbuhan keseluruhan pasaran dan penembusan serta kesan industri secara keseluruhan.
Pada tahun lalu, menurut Azlan, dengan lebih 8,000 kapal berlabuh di PTP dan pengendalian lebih 7.5 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU), penggunaan sumber tenaga adalah besar.
"Justeru, kami sedaya upaya berusaha mengurangkan penggunaan jumlah bahan api serta merendahkan pelepasan gas karbon oksida bagi mengekalkan kesegaran alam sekitar," katanya.
Dalam melangkah ke hadapan, Azlan dengan yakin berkata, syarikat yang mencatat pertumbuhan sebanyak 15 peratus pada tahun 2011, akan terus memerangi pencemaran dan mengurangkan pembaziran.
Selain tumpuan utama kepada penggunaan bahan api, PTP juga akan terus berusaha mengurangkan penggunaan tenaga yang tidak perlu, mengitar semula bahan dan membeli peralatan atau menerima pakai perkhidmatan baharu yang menawarkan konsep mesra alam.
Untuk rekod, PTP akan melakukan perluasan operasi yang ketara dengan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dalm tempoh tiga tahun akan datanh untuk membina dua dermaga baharu dan pemasangan kren lebih besar serta peralatan berkaitan untuk menampung aktiviti di pelabuhan tersebut.