04 Dec 2002

PTP terima dua kren terakhir bagi fasa satu

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pusat pindah kapal yang berkembang pesat di Asia Tenggara, menerima dua kren terakhir bagi Fasa 1 iaitu dua unit kren dermaga Super Post Panamax daripada MMC-ZPMC dari China hari ini.

PTP kini memiliki 24 unit kren dermaga Super Post Panamax bagi Fasa 1, meningkatkan kapasiti pelabuhan kepada 4.5 - 5 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setiap tahun.

Kedua-dua kren ini, serupa dengan 3 lagi kren ZPMC mempunyai jangkauan 60 meter dan kapasiti untuk mengendalikan 22 kontena dari kapal kontena, kata PTP dalam satu kenyataan.

Selain daripada dilengkapi lif berganda yang mampu mengendalikan dua unit TEU pada satu masa, kren ini dilengkapi dengan sistem gantri bersendi, membolehkannya mudah bergerak antara Fasa I dan Fasa II PTP.

Mohd Sidik Shaik Osman, ketua pegawai eksekutif PTP berkata: ``Penghantaran berkenaan tepat pada masanya memandangkan peningkatan jumlah yang dikendalikan di PTP. Kren itu juga merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan menyediakan PTP untuk kapal kontena generasi akan datang.''

PTP merupakan pelabuhan yang berkembang pesat di Asia Tenggara dengan pengendalian 2.05 juta TEU pada tahun 2001, tahun kedua operasinya.

Fasa Satu PTP termasuk 2.16 km dermaga linear yang terdiri daripada enam tempat kapal berlabuh sepanjang 360 meter setiap satu, limbungan 110,000 TEU kontena, yang merupakan satu daripada kemudahan penyimpanan kontena terbesar di rantau ini serta 22 kren dermaga Super Post Panamax.