PTP umum Hilton CEO baru
Berita Harian

Pengendali terminal kontena terbesar negara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengumumkan perlantikan Glen Hilton sebagai Ketua Eksekutif (CEO) yang baru berkuatkuasa 1 Mac lalu.
Pengerusi PTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman berkata rekod baik dan pengalaman berkaitan pengurusan pelabuhan menjadikan Hilton sebagai calon ideal memegang jawatan itu.
Katanya, Hilton mempunyai pengalaman 12 tahun dalam pelbagai pelabuhan dibawah DP World Group dan jawatannya sebelum ini ialah Pengarah Urusan dan Naib Presiden SE Asia DP World Asia, yang turut memainkan peranan penting pemulihan Terminal Caucedo di Republik Dominica dan memulakan terminal di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.
"Pengurusan pelabuhan kontena adalah sangat kompetitif sebagai pelabuhan serantau yang turut sedang meningkatkan kapasiti dan tahap perkhidmatan mereka kepada pelanggan.
"Hilton akan menggunakan pengalaman luas beliau bagi membawa operasi amalan terbaik daripada perspektif global ke PTP, selain menyelia kejayaan program pengembangan PTP bagi memastikannya meningkatkan nilai kepada pelanggan sedia ada dan baru," katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, semalam.