14 Jun 2002

PTP upaya kendali 185 kontena sejam

Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor yang mula beroperasi pada Oktober 1999, kini berupaya mengendalikan sejumlah 185 kontena sejam.

Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman berkata rekod itu dicipta oleh PTP kelmarin ketika mengendalikan kontena daripada kapal Carsten Maersk milik Maersk Sealand.
 
“Pelabuhan ini mampu mengendalikan 185 kontena sejam dengan menggunakan lima kren Super Post Panamax, dan mencatat satu lagi rekod produktiviti lebih 39 pergerakan kasar sejam bagi satu kren,” katanya di Johor Bahru, semalam.
 
Hampir 4,000 pergerakan dibuat diatas kapal sepanjang 347 meter itu yang juga satu daripada kapal kontena terbesar di dunia beroperasi ketika ini.
 
Mohd Sidik berkata, dengan pencapaian itu, PTP kini menghampiri sasaran mencapai 40 pergerakan sejam bagi produktiviti kren dan 200 pergerakan sejam produktiviti dermaga.
 
“Pencapaian tahap produktiviti itu juga membuktikan PTP boleh berdiri sama tinggi dari segi kecekapan dengan terminal terbaik yang lain di dunia,” katanya.
 
Bulan lalu, PTP mencatat jumlah kendalian tertinggi sejak ia mula beroperasi dengan sejumlah lebih 208,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) kontena sebulan.
 
PTP kini menawarkan enam dermaga sepanjang 350 meter setiap satu dan di belakang dermaga berkenaan, wujud kawasan simpanan kontena dengan kapasiti 110,000 TEU.