PTP, wakil Amerika bincang sertai C-TPAT
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) sudah memulakan perbincangan dengan wakil kedutaan dan kastam Amerika Syarikat untuk menyertai Perkongsian Kastam-Perdagangan menentang Keganasan (C-TPAT).
C-TPAT dilancarkan Kastam Amerika Syarikat pada April lalu bagi memastikan semua kargo yang dihantar ke negara berkenaan diperiksa dengan teliti dan didokumentasikan.
Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Osman, berkata pembabitan pihaknya dalam program itu adalah inisiatif bersama untuk mengukuhkan keseluruhan rantaian bekalan dan keselamatan.
Beliau berkata, ia turut disasarkan menyediakan keselamatan dan keselesaan kepada pelanggan dalam operasi penghantaran barangan ke Amerika Syarikat serta negara lain.
“Program ini menyedarkan kami bahawa kastam hanya menyediakan keselamatan tahap tertinggi menerusi kerjasama rapat dengan pemilik mutlak rantaian bekalan” katanya di Kuala Lumpur, semalam.
“Pembabitan PTP juga akan membolehkan ia digunakan sebagai pusat perhentian bagi barangan dari pelabuhan lain yang tidak mempunyai kemudahan seperti kami,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Sehubungan itu, katanya PTP sedang giat mengadakan perbincangan dengan pihak dari Amerika Syarikat untuk menyertai program berkenaan.
Katanya, antara lain ia membabitkan prosedur keselamatan fizikal barangan, keselamatan peribadi, pendidikan dan latihan serta kawalan kemasukan.
Selain C-TPAT, PTP juga berharap kerajaan akan mempercepatkan penyertaan dalam inisiatif keselamatan kontena Amerika Syarikat (CSI), program yang dilancarkan kastam negara itu Januari lalu.