01 Sep 1999

PTP yakin kecekapan beroperasi

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 31 OGOS - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang akan memulakan operasi percubaannya kira-kira sebulan lagi yakin akan dapat berfungsi dengan cekap dan memenuhi kehendak pengusaha perkapalan serantau.

Menurut satu kenyataan PTP di sini hari ini, keupayaan tersebut di kuatkan lagi dengan pemasangan satu lagi kelengkapan terkini yang mampu mengendalikan kontena dengan mudah dan cepat sekaligus meningkatkan produktiviti dan kecekapan pelabuhan itu.

"PTP kini sedang dilengkapkan kren penghubung sepanjang 53 meter pada tiga kren pertama di pusat kapal Super Post Panamax.

"Kelengkapan ini akan memberi sumbangan bermakna kearah menjadikan PTP pelabuhan yang terkemuka di rantau Asia Tenggara,"kata PTP.

Ia menambah, pemasangan kemudahan tersebut di jangka selesai September ini sesuai dengan percubaan operasi PTP oktober ini.

Menurutnya, kemudahan tersebut yang diperolehi dari sebuah pengeluar kren terkemuka mempunyai keupayaan mengangkut menjangkau 53 meter panjang dan beban 50 tan.

"Kren-kren ini dibentuk khusus untuk memberi perkhidmatan kepada kapal-kapal Super Post Panamax terbesar di dunia.

"Keupayaan kren-kren ini berfungsi dengan cepat akan membantu kearah peningkatan produktiviti dan kecekapan PTP secara keseluruhan," kata PTP.

Menurutnya lagi, PTP akan membina enam pusat berlabuh yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2000 dan dilengkapi dengan 18 kren.

"PTP akan mempunyai keupayaan mengendali 3.8 juta TEU apabila segala kemudahan penting di bawah fasa satu siap menjelang pertengahan 2001,"kata PTP.

PTP terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari laluan kapal paling sibuk di Selat Melaka dan akan memulakan operasi secara komersial tahun depan.

Ia mempunyai tapak seluas 1.2 juta meter persegi yang dikhaskan untuk pengendalian kontena dan aktiviti penyimpanan.