01 Aug 2013

PTP yakin masa depan cerah

Utusan Online

SINGAPURA 31 Julai - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), terminal kontena terbesar Malaysia, yakin masa depannya yang cerah dan mencatat pertumbuhan dua angka tahun depan walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Glen Hilton berkata: "Kami berkembang menerusi pelan pemodenan tiga tahun yang selesai pada Mei 2014."

PTP melabur RM1.4 bilion bagi tempoh tiga tahun untuk pelan pemodenan bagi memenuhi keperluan kapal kontena mega berlabuh.

Hilton berkata, kapasiti menyeluruh PTP hari ini, dengan 12 dermaga pertama, berjumlah 8.5 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

"Tahun lepas, kami mengendalikan 7.7 juta TEU. Pasaran turun naik, kami yakin boleh berkembang. Kami mempunyai keupayaan. Menerusi dermaga baharu tahun depan, kami teruja dan menjangkakan dapat mencatat pertumbuhan dua angka, oleh itu masa depan adalah cerah.

"Meskipun kami melalui tempoh ekonomi yang sukar, kami akan terus bekerja bersama pelanggan seperti Maersk Line bagi mengekalkan pertumbuhan berterusan," katanya kepada Bernama selepas menyambut kapal kontena terbesar di dunia, Tripple-E 'Maersk Mc-Kinney Moller', Ahad lepas.

Kapal yang baru dibina dan berlabuh di PTP, hab pemunggahan kapal Maersk Line Asia Tenggara, kini dalam pelayaran pertama antara Timur Jauh Asia dan Eropah.
Sebagai pasaran pemunggahan kapal, Hilton berkata, majoriti perniagaannya adalah dari negara lain.

"Kami berada pada kedudukan yang baik berdasarkan lokasi PTP di tengah-tengah ASEAN yang merupakan pasaran pertumbuhan.

"Kami melihat impak (kelembapan ekonomi) dari negara seperti Jepun, Korea, namun pertumbuhannya adalah di situ," katanya.

Bagi pasaran tempatan, Hilton berkata: "Kami melihat sedikit pertumbuhan.

"Kami menjangkakan pasaran berkembang terutama dari segi akses perkapalan global yang besar. Inilah antara manfaat rakyat Johor dan syarikat yang mengimport dan mengeksport barangan ke Malaysia.

"Ini disebabkan mereka mempunyai akses kepada kapal yang lebih besar dan rangkaian yang lebih luas di dunia di depan mata," katanya dan menambah ia juga baik untuk ekonomi tempatan.

Mengenai persaingan, Hilton berkata: "Kami sudah menceburi pasaran pemunggahan kapal dan berhadapan saingan dari Singapura, yang tidak jauh jaraknya. Kami juga bersaingan dengan Pelabuhan Klang."