PTP yakin pertumbuhan meningkat 30 peratus lagi
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pusat penghantaran melalui kapal paling pesat berkembang di Asia Tenggara, yakin dapat mencapai pertumbuhan sebanyak 30 peratus lagi tahun ini.
PTP pada tahun 2002, telah mencatatkan peningkatan kendalian sebanyak 30 peratus atau 2.66 juta TEUs (unit bersamaan 20 kaki), mengatasi sasarannya iaitu 2.5 juta TEUs, kata Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mohd. Sidik Shaik Osman.
Katanya, untuk mengendalikan jumlah yang meningkat itu, PTP telah melaksanakan pembangunan Fasa 2 di mana tebus guna lapan dermaga tambahan dan pembinaan dua dermaga sedang berjalan.
Katanya, penyiapan dua dermaga tambahan itu akan membolehkan PTP mengendalikan kira-kira enam juta TEUs setiap tahun menjelang awal 2004.
Mohd. Sidik berkata, tumpuan semasa PTP ketika dermaga-dermaga tambahan dibina adalah menarik para pengendali logistik dan pelabur-pelabur dengan agresif dalam bank tanah PTP yang luas termasuk zon perindustrian bebas dan taman pengagihan.
Beliau berkata, pemindahan pengeluar kereta asing BMW, ke PTP adalah contoh yang akan menuju ke arah meningkatkan daya saing pelabuhan dalam menarik para pengusaha antarabangsa lain untuk menempatkan operasi dan pengagihan mereka di PTP.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian PTP pada tahun lalu, Mohd. Sidik berkata, pertumbuhan kukuh sebanyak 30 peratus itu adalah hasil usaha pelabuhan memperoleh pasaran-pasaran baru bagi kargo walaupun terdapat keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Katanya: ``Kami menyambut ketibaan tahun 2002 dengan kebanyakan keadaan tidak menentu di pasaran-pasaran dunia, meskipun begitu PTP telah mencapai prestasi pertumbuhan kukuh 30 peratus.''
Mohd. Sidik berkata, pemindahan Evergreen Marine Corp. pada akhir Ogos 2002 turut membantu dengan ketara kepada paras pertumbuhan PTP.
Beliau berkata, kira-kira 95 peratus daripada jumlah 2002 adalah kontena-kontena pemindahan kapal dan baki sebanyak lima peratus terdiri daripada barangan eksport dan import tempatan.
PTP berkata ia juga mencatatkan paras produktiviti yang cemerlang sepanjang tahun lalu dengan purata 30-31 pergerakan sejam sebuah kren, yang meningkatkan dengan ketaranya masa pusingan balik kapal.
``Produktiviti yang tinggi PTP yang timbul di tengah-tengah jumlah yang tinggi juga menunjukkan kecemerlangan
PTP memperolehi statusnya dengan pantas sebagai pusat pemindahan kapal terkemuka di Asia Tenggara.
Pemusatan Maersk Sealand dan Evergreen di PTP turut menyumbang dengan banyak daripada segi pertumbuhan sampingan.