Rasai kehidupan IPTA
Harian Metro

40 Pelajar daerah Gelang Patah habiskan cuti tiga hari di UiTM Shah Alam
GELANG PATAH : Seramai 40 pelajar sekolah menengah dari daerah ini menghabiskan cuti sekolah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor selama tiga hari, baru-baru ini.
Objektif program tahunan lawatan sambil belajar anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) itu bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan berkaitan kehidupan kampus.
Peserta dapat melihat serta merasai sendiri pengalaman, seterusnya dijadikan penguat semangat untuk berusaha lebih gigih bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program bertemakan, " Belajar Daripada Kecemerlangan" itu disertai pelajar Sekolah Menengah (SMK) Gelang Patah, SMK Tanjung Adang, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar dan SMK Taman Nusa Jaya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat memberi dorongan kepada peserta memajukan diri melalui pendidikan.
"Kami harap peserta dapat menggunakan pengalaman diperoleh untuk merancang masa depan melalui pendidikan.
"Ini kerana hanya pendidikan dapat mengubah nasib seseorang dan kami menyokong penuh setiap perkara yang mampu menjana kemajuan pelajar sebagai generasi masa depan Negara," katanya.
Selain program itu, PTP turut menganjurkan kem motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tuisyen UPSR bahasa Inggeris serta program membaca, menulis dan mengira (3M).
Seorang peserta dari SMK Tanjung Adang, Siti Hajar Yahya, 18, berkata, pengalaman menghabiskan cuti persekolahan di institusi pengajian tinggi awam ( IPTA ) berkenaan membuka mata dan mindanya untuk bekerja keras bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
"Saya gembira dapat menyertai program ini, banyak dapat dipelajari seperti menghargai masa serta bekerjasama menyiapkan tugasan," katanya.